Your search results

Pulih Projek Rumah Terbengkalai Melalui Intervensi Kerajaan

Dikirim Oleh terkini on 19/12/2014
| 0

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek perumahan terbengkalai tidak mungkin berjaya dipulihkan tanpa intervensi atau campur tangan pihak kerajaan.

Beliau berkata hasil pendekatan kerajaan dalam menyelamatkan projek perumahan terbengkalai itu, kini sudah berjaya memulihkan 74 peratus projek perumahan diiktiraf sebagai terbengkalai.

Selain itu, katanya, 10.7 peratus atau 23 projek dalam proses pemulihan manakala 33 projek lagi atau 15.3 peratus dalam perancangan untuk dipulihkan “Intervensi kerajaan dalam memulihkan projek perumahan terbengkalai adalah selaras dengan matlamat kerajaan memperjuangkan dan mendahulukan kepentingan rakyat,” kata Najib pada majlis penyerahan kunci projek pembangunan semula Bandar Salak Perdana di Sepang, Khamis.

Najib yang juga Menteri Kewangan menyerahkan kunci secara simbolik kepada lima pembeli rumah di Bandar Salak Perdana itu, sebuah projek perumahan yang terbengkalai selama 12 tahun.

Perdana Menteri berkata pembinaan semula projek perumahan terbengkalai Bandar Salak Perdana merupakan bukti kejayaan pendekatan kerajaan dalam memulihan projek perumahan terbengkalai.

Beliau berkata pemulihan projek perumahan swasta yang terbengkalai, menjangkaui tanggungjawab kerajaan kerana ia merupakan urusan antara pembeli dengan syarikat swasta.

“Kalau kerajaan kata bahawa ini bukan tanggungjawab kerajaan, tiada sesiapa boleh persalahkan kerajaan. Ia merupakan tanggungjawab pemaju asal. Oleh kerana kerajaan yang ada pada hari ini amat prihatin, maka, kita mengubah satu kaedah untuk menyelamatkan projek terbengkalai.

“Ini merupakan satu langkah tambahan teristimewa yang dilakukan oleh kerajaan,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata usaha Malaysia Building Society Berhad (MBSB) yang merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menyelamatkan rumah terbengkalai adalah atas arahan kerajaan.

“Kejayaan ini berjaya menaikkan nilai hartanah tersebut daripada RM140,000 seunit kepada RM400,000 seunit hari ini selain mewujudkan pusat pertumbuhan baharu,” kata Najib.

Bandar Salak Perdana sebelum ini dikenali sebagai Projek Taman Kenanga telah diisytiharkan terbengkalai pada 31 Dis 2002 akibat masalah kewangan yang dihadapi pemaju asal.

Projek itu dibangunkan semula oleh MBSB dan NCT United Development Sdn Bhd selaku pemaju penyelamat projek dan disiapkan dalam tempoh dua tahun dengan suntikan dana berjumlah RM213 juta.

Projek baik pulih itu melibatkan empat fasa meliputi 369 rumah teres dua tingkat, 180 unit rumah teres dua setengah tingkat, 164 unit pangapuri kos sederhana dan 713 pembeli dan pemilik rumah.

Najib berkata pemulihan projek-projek perumahan terbengkalai merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mencapai sasaran satu juta rumah mampu milik dalam masa lima tahun.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Mohamad Yusoff Ghazali, Pengerusi MBSB Tan Sri Abdul Halim Ali dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Datuk Ahmad Zaini Othman.

Sementara itu, Halimah berkata dari tahun 2009 hingga 31 Okt tahun ini, terdapat sebanyak 215 projek perumahan swasta terbengkalai melibatkan 59,748 unit rumah dan seramai 39,691 pembeli.

Daripada jumlah itu, sebanyak 159 projek rumah terbengkalai melibatkan 43,768 unit rumah dan 28,714 pembeli berjaya disiapkan dan diselesaikan manakala sebanyak 23 projek melibatkan 6,700 unit rumah dan 4,639 pembeli sedang berada dalam pelbagai peringkat pembinaan, katanya.

“Baki sebanyak 33 projek melibatkan 9,280 unit rumah dan 6,338 pembeli masih dalam perancangan awal pemulihan,” katanya.

Untuk mengekang masalah projek perumahan terbengkalai, Halimah berkata pindaan dibuat terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) yang dijadual berkuat kuasa pada tahun depan bersekali dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2013 (Akta 318).

Antara perkara penting dalam pindaan itu melibatkan kadar penalti maksimum dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 kerana kadar penalti sedia ada terlalu rendah dan tidak mencerminkan nilai sebenar, kata Halimah.

“Pindaan ini dilaksanakan kerajaan untuk melindungi pembeli rumah daripada menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai di samping menjamin penawaran rumah oleh pemaju mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.

–BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.