Banks, termasuk yang tidak terjejas oleh krisis kewangan, haruslah ada strategi jelas untuk memastikan ia terus relevan dalam landskap pasaran kewangan yang berubah-ubah, demikian menurut PricewaterhouseCoopers (PwC).
“Bank perlu bertindak cepat untuk membangunkan rancangan menyeluruh, mula-mula menstabilkan perniagaannya dan kemudian bergerak maju ke hadapan,” kata rakan kongsi PwC Malaysia, Soo Hoo Khoo Yean.
“Reaksi lazim daripada industri perbankan terhadap krisis kewangan semasa, biasanya bersifat jangka pendek,” kata Soo dalam satu kenyataan Isnin.
“Bagaimanapun, walau bagi bank Malaysia yang hampir tidak terjejas oleh kelembapan ini sekali pun, tiada jaminan ia mencapai prestasi baik pada masa akan datang, lebih-lebih lagi dengan liberasasi sektor kewangan baru-baru ini,” katanya.
Dalam menghadapi persaingan yang dijangkakan lebih sengit, bank Malaysia perlu mengkaji semula model perniagaan semasa masing-masing agar dapat bertahan dalam jangka panjang, kata Soo.
“Risiko berfikir secara jangka pendek ialah ia boleh merosakkan daya maju perniagaan dalam jangka panjang. Bank merupakan struktur yang amat rumit dan keinginan untuk mengatasi masalah dengan segera boleh mengganggu tumpuannya daripada melakukan ‘yang betul’,” katanya.
Bagi memastikan kejayaan masa depan, strategi perbankan mestilah memastikan asasnya betul, termasuk tadbir urus, risiko dan kawalan, pengurusan kewangan, penyampaian, struktur perundangan dan fizikal, serta insan dan ganjaran, tegas Soo.
“Pendekatan yang tidak mencapaitaraf dunia tidak mencukupi dan kebolehan menangani semua isu ini mengikut rentetan yang betul dan memastikan responsnya bersesuaian amat penting bagi kelangsungan hidup,” katanya.
– BERNAMA
Popularity: 1%