RAM Jangka Jualan Harta Meningkat 5-10 Peratus

ram-holdingProspek bagi pasaran harta Malaysia kelihatan cerah dengan jumlah jualan dijangkakan meningkat sebanyak 5.0 hingga 10 peratus tahun ini, demikian menurut RAM Holdings Bhd.

Ketua pakar ekonominya, Dr Yeah Kim Leng, berkata prospek ekonomi yang semakin cerah dan dasar pemberian pinjaman yang mesra akan membantu meningkatkan tahap keyakinan pengguna dan merangsang pasaran harta.

“Strategi pertumbuhan domestik dan perumahan mampu milik ini membayangkan bahawa dasar-dasar yang menyokong akan berterusan, meskipun Bank Negara Malaysia terus berwaspada terhadap gelembung aset,” kata Yeah pada ceramah anjuran Persekutuan Hartanah Antarabangsa atau FIABCI di sini pada Rabu.

Beliau berkata demografi yang memberangsangkan, akses kepada pembiayaan perumahan yang ketat tetapi masih mudah, penghijrahan luar bandar ke bandar, permintaan asing dan peningkatan pendapatan dijangka merangsang jualan perumahan.

Kata Yeah jangkaan bahawa bank pusat itu akan “mengembalikan” langkah-langkah monetarinya kepada keadaan biasa mulai bulan ini tidak akan melemahkan pembelian rumah, terutamanya apabila pertumbuhan ekonomi mengukuh selanjutnya.

RAM menjangkakan peningkatan kadar dasar semalaman sebanyak 0.75 hingga 1.00 mata peratusan menjelang akhir minggu.

Pertumbuhan pinjaman diunjurkan meningkat 8.0 hingga 10 peratus tahun ini dengan kadar pinjaman tidak berbayar berkemungkinan berlegar sekitar 2.0 hingga 3.0 peratus.

Pertumbuhan pinjaman terus positif pada 6.5 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama 2009 meskipun dalam kemelesetan ekonomi apabila pinjaman kepada sektor harta mengatasi pertumbuhan pinjaman keseluruhan.

Kata Yeah kredit pengguna akan terus menjadi tumpuan pemberian pinjaman bank tetapi persaingan daripada institusi bukan kewangan mungkin semakin sengit.

Pinjaman harta merupakan 36.2 peratus daripada keseluruhan pinjaman sistem perbankan.

“Bank masih menganggap pemberian pinjaman harta kediaman sebagai lebih selamat, dengan sumbangan sebanyak 26 hingga 27 peratus portfolio pinjamannya,” kata beliau sambil menambah bahawa kemudahan mendapatkan kredit tidak dijangkakan sukar kerana permintaan bukanlah terlalu berlebihan manakala jurang pengeluaran masih wujud hingga ke akhir tahun.

Tentang ekonomi Malaysia, Yeah berkata negara ini dijangka menyaksikan semula pertumbuhan sederhana tahun ini dengan kecenderungan meningkat sekiranya sektor awam mengubah dasar dan strategi bagi memperkukuh keyakinan pengguna dan pelabur selanjutnya, sekali gus mencetuskan lonjakan pelaburan domestik dan langsung asing.

“Selepas mengalami penyusutan besar inventori tahun lepas, pembekalan semula akan menyumbang kepada pengeluaran yang lebih tinggi tahun ini tetapi pertumbuhan autonomi atau ‘kendiri’ perlu disumbangkan oleh penggunaan swasta dan pelaburan,” katanya.

RAM mengunjurkan ekonomi negara berkembang sebanyak 4.9 peratus pada 2010 dan 5.4 peratus pada 2011, disokong oleh perbelanjaan domestik sektor swasta dan perbelanjaan kerajaan.

Yeah berkata Malaysia boleh mengurangkan defisit belanjawannya ke paras kurang daripada 3.0 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dari 2013 dan seterusnya berbanding ramalan sebanyak 5.6 peratus tahun ini.

Menurut beliau, ada kemungkinan defisit susut mulai tahun depan jika pertumbuhan ekonomi meningkat selanjutnya.

“Dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan, negara boleh menjana lebih pendapatan dan akan dapat mengurangkan perbelanjaan,” katanya.

Pada masa ini cukai dan royalti daripada minyak dan gas menyumbang 40 peratus pendapatan kerajaan manakala tahap hutangnya menyumbang 40 peratus KDNK.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Mac 4th, 2010 dan difailkan dibawah Isu Semasa. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda