Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yakin tentang masa depan pasaran harta Malaysia.
“Bagi tahun ini, Tinjauan Industri Harta Rehda bagi tempoh enam bulan pertama 2010 menunjukkan 62 peratus pemaju lebih yakin tentang keadaan pasaran berbanding 43 peratus bagi tempoh enam bulan kedua tahun lepas,” kata Presiden Rehda, Datuk Michael KC Yam, pada satu taklimat untuk media anjuran Rehda dan RAM Ratings Services Bhd di sini Isnin.
Tinjauan itu menunjukkan 58 peratus responden telah melancarkan projek-projek baharu dalam enam bulan pertama tahun ini, dan ini merupakan peningkatan besar berbanding 31 peratus bagi tempoh setengah tahun sebelumnya, kata Yam.
Beliau berkata dengan keadaan pasaran yang memberangsangkan sekarang, tinjauan itu menunjukkan bahawa 69 peratus responden akan melancarkan produk baharu dalam tempoh enam bulan kedua tahun ini.
“Majoriti pemaju juga menjangkakan harga meningkat dalam enam bulan akan datang.
“Kira-kira 41 peratus berkata harta (yang mereka majukan) akan meningkat nilainya sebanyak kurang daripada sepuluh peratus, manakala 40 peratus lagi pemaju menjangka harga harta mereka meningkat 10 hingga 20 peratus,” katanya.
Tentang peluang-peluang dalam industri perumahan, Yam berkata sektor kewangan banyak membantu.
“Sektor perbankan mempunyai banyak mudah tunai, kredit bagi peserta pembinaan bertambah baik dan pinjaman tak berbayar perumahan telah susut,” katanya.
Yam berkata pembangunan semula tapak-tapak lama dan dasar-dasar kerajaan yang bertambah baik juga menyumbang ke arah keadaan pasaran yang baik ini.
Beliau berkata meskipun perniagaan telah mengumpul momentum, namun industri masih menghadapi cabaran-cabaran seperti kenaikan kadar pinjaman asas, pemansuhan subsidi dan kos pengeluaran yang tinggi.
Yam berkata keadaan industri perumahan sekarang baru sahaja ‘mereneh’ dan belum ‘mendidih’.
“Perniagaan berjalan seperti biasa, tetapi ia memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan dan dasar-dasar yang membantu bagi menjamin kestabilannya,” kata beliau.
Ketua pakar ekonomi RAM Ratings, Dr Yeah Kim Leng, berkata keadaan monetari dan kewangan semasa memang kondusif bagi pertumbuhan mampan.
“Berikutan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 10.1 peratus dalam suku pertama tahun ini, dan dengan pertumbuhan suku kedua dianggarkan pada kadar 8.8 peratus, pertumbuhan KDNK Malaysia bagi enam bulan pertama berkemungkinan mencecah 9.4 peratus tahun atas tahun,” tegas Yeah.
Tinjauan Rehda itu dikendalikan dua kali setahun untuk menilai keadaan industri perumahan semasa yang dihadapi oleh ahlinya.
– BERNAMA
Popularity: 1%