Oleh Wan Nor Azura Mior Abd Aziz
Ringgit meningkat ke paras paling kukuh dalam tempoh 28 bulan, dirangsang oleh pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua yang lebih baik daripada jangkaan iaitu 8.9 peratus serta laporan yang Bank Negara Malaysia telah melonggarkan peraturan ke atas transaksi ringgit bagi penyelesaian perdagangan.
“Unit tempatan melonjak ke paras tinggi 28 bulan hari ini, paras tertinggi sejak 28 April, 2008. Ia diniagakan pada 3.1280 berbanding dolar AS pagi ini,” kata seorang peniaga bank.
Rabu, pengumuman liberalisasi ringgit oleh Bank Negara akan turut menyokong ringgit kerana mata wang itu akan diurus niagakan dengan lebih bebas di pasaran antarabangsa, kata pakar ekonomi RAM Holdings Bhd, Jason Fong kepada Bernama.
Bank pusat mengumumkan yang syarikat pemastautin kini bebas untuk menukar dan melindung nilai mata wang asing kepada ringgit, bermakna semua had ke atas pinjaman antara syarikat mata wang asing sempadan bersilang kini telah dimansuhkan.
Selain daripada itu, liberalisasi Bank Negara ke atas peraturan pentadbiran tukaran asing akan membuka jalan kepada penggunaan yang lebih luas mata wang tempatan dalam pasaran antarabangsa, sekali gus merancakkan permintaan untuk ringgit.
“Pertumbuhan yang kukuh daripada jangkaan telah merancakkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik,” kata Fong.
MIDF Research turut menjangkakan yang ringgit akan terus mengukuh berbanding dolar AS tahun ini dan 2011, sebahagiannya disebabkan oleh perdagangan menggunakan dolar hasil daripada kenaikan kadar kumulatif 75 mata asas Bank Negara tahun ini dan pemulihan dalam pertumbuhan ekonomi.
“Kami menjangkakan yang kadar tukaran USD/MYR ialah pada 3.10 pada akhir 2010 dan 3.00 pada 2011,” kata syarikat penyelidikan itu hari ini.
RAM Economics turut mengekalkan unjurannya iaitu RM3.00 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, disokong oleh faktor-faktor seperti prospek perbezaan pertumbuhan di Malaysia dan Amerika Syarikat tahun ini.
“Lebihan dagangan yang besar dan meluasnya perbezaan kadar dasar semalaman dan kadar dana persekutuan akan terus disokong oleh peningkatan yuan yang dijangkakan dalam tempoh sederhana dan meningkatnya iklim pelaburan domestik,” kata Fong.
China untuk pertama kalinya membenarkan yuan diniagakan berbanding ringgit Malaysia di pasaran domestik hari ini, langkah terbaru dalam usaha jangka panjang untuk menjadikan yuan mata wang global utama dan merancakkan penggunaan perdagangan sempadan bersilang mata wang China.
Sebagai sebahagian daripada desakan China untuk mengantarabangsakan yuan dengan meningkatkan pengitaran seberang lautnya, China dan Malaysia memeterai perjanjian swap mata wang pada Februari 2009, yang apabila diwujudkan sepenuhnya akan meningkatkan ketersediaan yuan di Malaysia dan ringgit di China.
Sementara itu, RAM mengekalkan unjuran inflasi untuk berkembang 2.5 peratus pada 2010, hasil daripada bertambah baiknya permintaan pengguna dan keyakinan pelabur domestik.
Inflasi akan turut meningkat memandangkan impak sekunder dan peringkat ketiga tindakan rasionalisasi subsidi bulan Julai telah dirasai di keseluruhan ekonomi yang mungkin menyemarakkan jangkaan harga yang lebih tinggi di masa depan, kata Fong.
“Bagaimanapun, pengukuhan ringgit dijangka dapat mengurangkan inflasi domestik secara keseluruhan dengan import menjadi agak murah untuk dibeli,” kata beliau.
– BERNAMA
Popularity: 3%
tapi tak ramai peniaga nak kurang harga jualan lepas penjimatan matawang. contohnya, harga kereta kekal sama sepanjang tahun walaupun ringgit lebih kukuh. kesan jangka panjang, inflasi akan terus naik dan ringgit akan jatuh semula anytime in the future.
tapi pengilang sudah merasai keburukan yg akan dialami jika ringgit naik tanpa control..