Rumah Kuota Bumiputera Tidak Laku Boleh Tukar Status

SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) — Rumah dan premis perniagaan berkuota Bumiputera yang tidak laku dijual oleh pemaju boleh ditukar status itu secara terhad melalui satu dasar khas yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata “peluang sekali” itu diberi sebagai pemangkin kepada syarikat pemaju perumahan untuk membolehkan mereka mengharungi suasana ekonomi yang kurang merangsangkan.

“Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) ada bincang dengan kita mengenai masalah-masalah pemaju perumahan yang dihadapi ahli mereka semasa zaman kegawatan ini. Salah satu darinya ialah kesulitan untuk menjual rumah-rumah kuota bumiputera,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco hari ini.

Mohamad berkata peluang itu bagaimanapun hanya diberi selepas pemaju perumahan menjual habis rumah berstatus terbuka sebelum memohon untuk menukar status rumah kuota Bumiputera yang tidak laku.

Dasar negara mengkehendaki setiap pemaju perumahan memperuntukkan 30 peratus daripada unit-unit rumah yang mereka bina dijual kepada Bumiputera dengan diskaun sebanyak 10 peratus.

Mohamad berkata bahawa di Negeri Sembilan ada tempat terutama di kawasan bukan Melayu seperti di Lobak dan Temiang di mana rumah-rumah dalam kuota Bumiputera tidak dapat dijual.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan menghantar nota cadangan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar agar Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli diberikan elaun bulanan RM400 sama seperti Pengerusi JKKK Kampung Tradisional.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Mei 7th, 2009 dan difailkan dibawah Hartanah Hari ini. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda