Your search results

Rumput hiasan penyegar laman

Dikirim Oleh Fadzlina Amran on 06/09/2011
| 3 Ulasan

Kediaman anda berlaman luas tetapi sehingga kini hanya diselimuti pasir dan rumput liar yang jelek dipandang. Bagaimana jika hujung minggu ini anda luangkan masa sebentar dengan menanam rumput hiasan di laman tersebut. Kecil atau besarnya laman kediaman anda bukanlah ukurannya, tetapi inisiatif anda untuk mengindahkannya.

Kenali jenis-jenis rumput hiasan seperti rumput karpet tropika (axonosus compresus), Seranggoon (digitaria didactyla), Zoysia (Zoysia Matrella),Bermuda (Cynodon dactylon),Cintepede (Eremochloa ophiuroides), Saint Augustine (Stenotaphrum secundatum),Improved Bermuda (terdiri daripada Tif dwarf, tif way, tif green, tif fine). Walau bagaimanapun, antara rumput yang biasa diketahui, popular ditanam dan mudah ditemui di negara kita, seperti

1.Rumput Permaidani ( Carpet Grass )

-Tahan lasak dan tahan serangan serangga perosak.

2.Rumput Mutiara ( Pearl Grass )

-Penjagaan perlu rapi, terutama siraman dan pembajaannya. Agak mudah dijangkiti virus atau serangga perosak , tidak tahan cuaca panas dan tidak mampu melawan serangan pertumbuhan rumput liar. Walau bagaimanapun, rumput ini berwarna hijau gelap dan membebaskan oksigen yang lebih daripada rumput biasa. Mudahnya, rumput ini tidak perlu di potong ( triming ) kerap, memadai dengan cantasan ringan.

3.Rumput Padang (Cow grass)

-Rumput tahan lasak biasanya ditanam di bahu jalan, padang bola sepak atau tapak-tapak permainan. Kebaikannya, tahan daripada segala serangan perosak, penyakit, cuaca dan rumput liar serta cepat membiak. Bagaimanapun perlu ditrim sekerap dua minggu sekali.

Kaedah termudah menjaga rumput hiasan?
Umumnya, penyelenggaraan harian rumput tidak sukar semudah potong, siram,tanam semula dan juga mengawal rumpai tetapi kena faham perbezaan habitat pertumbuhannya, penjagaan dan pengaruh pengudaraan. Sedih, jika rumput yang indah tiba-tiba menunjukkan petanda layu, rosak dan tidak indah lagi. Rumput juga spesies hidup yang mudah diserang penyakit. Justeru, ketahui lah masalah rumput seperti kecederaan, tekanan (stress) , kekurangan nutrien (defisiensi) dan faktor luaran.

1. Kecederaan

-ditumpahi elemen kimia seperti baja, racun, minyak dll. Jadi, seelok-eloknya elakkan membancuh baja, racun dan sebagainya di atas kawasan rumput.  Jika tertumpah ke atas rumput, limpahkan sebanyak-banyak air di kawasan tumpahan untuk mencairkan sisa-sisa bahan kimia tersebut.

Jangan hairan jika anda boleh mengelap rumput dengan kain atau mengemopnya seperti permaidani serta perahkan di luar rumput.

-bagi rumput yang terkena najis haiwan dll, akan mati dan di sekelilingnya berwarna hijau. Jika baru terkena najis, anda juga boleh lakukan sepertimana di atas.

-mampatan tanah akibat dipijak. Disebabkan hal ini boleh merosakkan rumput, kebanyakan hotel, pejabat dll meletakkan papan tanda “Dilarang Memijak Rumput”.

Rumput perlukan ruang untuk bernafas, bermakna pengudaraan haruslah baik, jadi jika itu berlaku pada rumput anda, anda perlu menggemburkannya sedikit serta menambahkan bahan organik atau ubahlah laluan pejalan kaki. Jika tidak berkesan, nampaknya harus ditanam semula.

-pemotongan terlalu pendek sehingga daun rumput terpotong hingga kelihatan batang atau akarnya. Harus cermat dalam pemotongan.

2. Tekanan (stress) rumput

-Sepertimana manusia, rumput juga mengalami stressnya tersendiri misalnya rutin siraman berlebihan atau kurang. Rutin pembajaan turut mempengaruhi; jika berlebihan pertumbuhan rumput terlalu pantas manakala jika terlalu kurang baja, rumput menjadi kecil, kurus dan kelihatan tidak segar.

Rutin meracun juga perlu dihadkan. Terlalu banyak meracun rumput diibaratkan membakarnya hidup-hidup, maka rumput juga akan terencat pertumbuhannya atau mati.

3. Kekurangan nutrien (defisiensi)

– Kekurangan nutrient menyebabkan daun tua akan berwarna hijau muda dan pertumbuhannya terbantut. Cara mengatasi: cuma tambahkan baja sedikit demi sedikit.

– Kekurangan zat besi menyebabkan daun muda berwarna kuning walaupun rumput kelihatan seperti biasa, hanya warnanya sahaja tidak menarik seperti rumput kemarau. Seelok-eloknya, gunalah baja yang mengandungi zat besi.

– Biasanya rumput cepat kekurangan air. Siramlah dan jangan biarkan ia terus mengering.

4. Faktor luaran

-kekurangan matahari untuk melakukan proses fotosintesis menyebabkannya tumbuh panjang-panjang, mengurus dan mula tumbuh jarang. Pandai-pandailah mengatur tapak untuk menyemai agar pengudaraan dan pencahayaannya mencukupi.

Pilihlah spesies rumput yang sesuai dengan kawasan teduhan seperti rumput mutiara yang agak sensitif.

-angkara serangga perosak rumput seperti kulat rhizoctonia solani yang menyerang rumput jika sentiasa lembab, dollar spot yang menyerang rumput yang kekurangan air atau nutrien, atau cacing Army.

Kawalan biologi dan secara kimia hendaklah dilakukan. Gunakan racun serangga untuk mengawal serangga perosak, racun kulat untuk penyakit kulat. Racun boleh digunakan secara bergilir-gilir.

3 pendapat dalam “Rumput hiasan penyegar laman

  • pada 16/09/2011

    saya sangat bersetuju kerana laman yg gersang tanpa rumput hiasan sangatlah merosakkan suasana.

  • pada 16/09/2011

    rumput hiasan akan menyerikan lagi suasana.

  • Siti halijah
    pada 29/11/2016

    Assalamualaikum..sy inginkn pendapat dan panduan..sy telah menanam rumput mutiara,ttp rumput ini rupanya tdk thn cuaca panas dn mmg benar,ulat bulu suka makan daunnya..laman rumah sy juga menerima cahaya matahari terus menerus dr pagi smpai ptg.oleh itu,rumput jenis apa yg sesuai utk laman rumah sy. Harap boleh bantu sy..terima kasih

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.