Sektor Perbankan Jangka Perolehan Lebih Kukuh

Kredit Kad

Kredit Kad

Sektor perbankan menjangka pertumbuhan perolehan sebanyak 19 peratus pada 2010 berdasarkan peruntukan yang lebih rendah, disokong oleh pendapatan kendalian kseluruhan yang lebih baik.

Dalam tumpuannya terhadap sektor perbankan, HwangDBS Vickers Research, berkata badan korporat beralih kepada pasaran bon untuk mendapatkan pembiayaan, dan ini bertindak sebagai rangsangan kepada peningkatan pendapatan bukan faaedah.

“Kami meramalkan pertumbuhan pendapatan bukan faedah sebanyak 10 peratus pada 2010 dan pinjaman pengguna akan memacu pertumbuhan pinjaman tahun ini kerana korporat beralih kepada pasaran bon untuk mengumpul dana,” kata laporan itu.

HwangDBS Vickers Research juga menjangka penggunaan pinjaman PKS pulih tahun ini.

“Berdasarkan permohonan dan kelulusan pinjaman oleh bank-bank, kami menjangkakan pertumbuhan yang kukuh,” katanya sambil mengunjurkan pertumbuhan pinjaman sebanyak lapan hingga sembilan peratus bagi 2010.

Firma penyelidikan itu berkata pilihan utama di kalangan bank Malaysia ialah CIMB disebabkan oleh peranannya dalam peluasan serantau dan pasaran modal Malaysia.

“Kami juga sukakan Hong Leong Bank kerana jangkauannya di China yang boleh membantu pertumbuhan perolehannya.

“Hong Leong Bank sedang berunding untuk membeli EON Capital yang dijadual melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan,” kata laporan itu.

HwangDBS Vickers Research menambah mungkin ada ruang selanjutnya bagi menaikkan taraf perolehan bank-bank terpilih seperti Hong Leong Bank dan RHB Capital apabila kadar dasar semalaman meningkat.

Bagi Maybank, mungkin ada peningkatan prestasi hasil daripada perolehan Bank Internasional Indonesia yang lebih kukuh, manakala Public Bank menonjol sebagai proksi cemerlang bank berkualiti.

Pertumbuhan pinjaman Public Bank masih mengatasi purata industri manakala kualiti asetnya masih lagi yang terbaik dalam kalangan bank-bank seumpamanya,” katanya.

Bagaimanapun, HwangDBS Vickers Research menegaskan ada risiko besar terhadap perolehan sektor ini.

Sektor ini menjangkakan penyusutan pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan daripada dijangkakan, yang berpotensi menyebabkan pemulihan perolehan keseluruhan menjadi lebih lembap.

Menyentuh tentang kemelut hutang Dubai, ia berkata bukan semua bank Malaysia melabur di Timur Tengah. Bagaimanapun, katanya tinjauan di kalangan bank menunjukkan bahawa jumlah pelaburan kurang daripada RM200 juta bagi setiap bank.

HwangDBS Vickers Research berkata minat terhadap saham-saham perbankan meningkat dengan ketara pada 2009, yang pada puratanya, mengatasi prestasi Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia sebanyak 83 peratus.

– BERNAMA

Dikirim Oleh c-mi on Jan 8th, 2010 dan difailkan dibawah Berita Bank Malaysia, Perbankan. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2010 Drumah Media. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan pengurus web secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:

Tinggalkan ulasan anda