Your search results

Spekulator Diingat Henti Spekulasi Hartanah

Dikirim Oleh c-mi on 10/12/2014
| 0

Pihak spekulator diingatkan supaya menghentikan spekulasi yang memberi gambaran keuntungan mudah boleh diperoleh melalui pelaburan dalam sektor perumahan yang menyebabkan harga hartanah melambung tinggi.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahalan berkata isu perumahan merupakan isu sensitif dalam kalangan rakyat negara ini dan ia tidak wajar dispekulasikan.

“Sebab itu saya selalu tekankan pada PropertyGuru ini, bahawa mereka tidak boleh menggunakan pelaburan dalam perumahan ini sebagai satu spekulasi.

“Kalau nak spekulasi pergilah saham ke, pergilah mana-mana instrumen pelan pelaburan lain, tetapi perumahan ini begitu sensitif dan begitu kritikal untuk rakyat negara kita ini, ia sepatutnya tidak digunakan untuk instrumen spekulasi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman mengenai masalah spekulasi hartanah pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Jelas Abdul Rahman kementerian melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu spekulasi, antara lain ialah dengan kenaikan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT).

“Buat masa ini RPGT ini memang telah pun dinaikkan dalam Bajet 2014, iaitu untuk individu, 30 peratus akan dikenakan kalau rumah itu dijual dalam tempoh tiga tahun, dalam tempoh empat tahun akan dikenakan cukai 20 peratus, tahun kelima 15 peratus dan tahun keenam dan seterusnya kosong peratus,” katanya.

Abdul Rahman berkata kementerian akan mengkaji RPGT dari semasa ke semasa dengan perbincangan bersama Bank Negara.

Katanya situasi kini menyaksikan penurunan kadar purata kenaikan harga rumah apabila bagi suku kedua tahun ini ia direkodkan 6.6 peratus berbanding tahun lalu iaitu 11.6 peratus.

“Kurang lima peratus, bermakna kenaikan harga rumah sekarang ini dalam keadaan perlahan dan mampan,” katanya.

Menjawab soalan Senator Datuk Adam Abdul Hamid, Abdul Rahman berkata kerajaan bercadang untuk menggunakan sistem bil untuk pengurusan sisa pepejal bagi setiap isi rumah pada masa akan datang.

Ini bagi memastikan rakyat bertanggungjawab dalam mengurangkan penggunaan sisa pepejal selain membantu pihak berkuasa tempatan melakukan sistem pengurusan sisa pepejal yang terbaik, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.