Sunway Holdings Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya, SunwayMas Sdn Bhd, Selasa memeterai perjanjian jualan berkongsi dengan Templer Forest Resort Sdn Bhd bagi cadangan pembelian 60 peratus ekuiti dalam Spanland Sdn Bhd dengan harga RM13.8 juta secara tunai.
Sunway dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia Selasa berkata kedua-dua pihak juga memeterai perjanjian pemegang saham untuk melaksanakan bersama projek pembangunan hartanah di tanah pegangan pajak seluas 98.43 ekar di Rawang, Selangor.
Perjanjian pemegang saham itu akan berkuat kuasa selepas cadangan pembelian selesai.
“Tanah itu terletak di kawasan strategik bertentangan dengan Templer Park Country Club di kawasan mewah utara Kuala Lumpur.
“Ia sesuai bagi pembangunan mewah dan dicadangkan untuk projek pembangunan hartanah terdiri daripada unit kediaman banglo gaya hidup eksklusif yang akan dilancarkan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh perjanjian jualan berkongsi selesai.
“Ini sejajar dengan strategi kumpulan yang menumpukan kepada projek kediaman khusus,” kata Sunway.
– BERNAMA