SEPANG — Sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) merancang membina sebuah kemudahan bernilai AS$300 juta di Enstek, kata Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties Sdn Bhd Zaharuddin Saidon Sabtu.
TH Properties, satu cabang hartanah Lembaga Tabung Haji, adalah pemaju bersepadu perbandaran itu.
Kemudahan itu, katanya akan terletak di TechPark Enstek.
TechPark@enstek adalah satu hub perindustrian dan tekonologi yang meliputi satu kawasan seluas 209.6 hektar yang bakal menempatkan kluster syarikat bioteknologi dan sains hayat antarabangsa dan tempatan di Malaysia.
Kedua-dua pihak dijangka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum akhir tahun ini, katanya kepada Bernama di sini.
Perbandaran itu, yang kini 35 peratus disiapkan, dianggar akan menjana nilai pembangunan kasar (GDV) RM9.2 bilion apabila siap pada 2025.
Berdasarkan minat yang tinggi dari pelabur tempatan dan antarabangsa, Zaharuddin bekata GDV perbandaran itu dijangka melebihi sasaran.
Menurut Zaharuddin, satu syarikat dari Bangalore, India telah turut merancang untuk membangunkan projek kediaman di atas kawasan seluas 80 hektar di Enstek bagi program “Malaysia Rumah Keduaku.”
TH Properties, katanya juga sedang berunding dengan satu pengendali pasaraya besar, yang merancang mewujudkan operasinya di perbandaran itu.
Dalam perkembangan lain, katanya fasa pertama pembinaan Bandaraya Pendidikan Kuala Lumpur (KLEC) di EduPark@enstek dijangka disiapkan di dalam tempoh tiga dan empat tahun.
KLEC, sebuah pusat pendidikan berkongsi yang terletak di atas kawasan seluas 600 hektar, yang akan menempatkan beberapa universiti tempatan dan antarabangsa, yang termasuk Universiti Sains Malaysia dan University of London.
“Jadi, bila ini semua siap dalam tiga hingga empat tahun lagi (bagi Fasa Pertama), sudah tentu peruncit yang lain akan datang.
“Sebab itu, semalam kita telah berbincang dengan syarikat franchais untuk mewujudkan satu pusat runcitan di sini supaya dapat memenuhi keperluan pelajar-pelajar ini,” katanya.
Katanya sebaik fasa pertama KLEC disiapkan, kira-kira 20,000 pelajar dijangka menggunakan kemudahan itu.
– BERNAMA
Popularity: 1%