Syarikat Konsesi Diminta Pertimbang Pembangunan Komersil Di Lebuh Raya

Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah mengemukakan saranan kepada syarikat konsesi lebuh raya untuk mempertimbangkan cadangan membangunkan tanah berpotensi di sepanjang lebuh raya bagi tujuan pembangunan komersil.

Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Md Salleh berkata sebelum ini tidak ada dalam cadangan supaya syarikat konsesi sendiri menjalankan pembangunan komersil masing-masing di lebuh raya.

Bagaimana pun, sesetengah syarikat konsesi telah melaksanakan projek pembangunan di lebuh raya meski pun ia dijalankan dengan usahasama syarikat pemaju hartanah, katanya kepada pemberita selepas menutup program Tuisyen Tanggung Jawab Sosial Sprint di Pusat Jagaan Lambaian Kasih, Kampung Sungai Penchala di sini pada Jumaat.

“Pembangunan di kawasan lebuh raya sudah berlaku sebenarnya. Sebagai contoh, di Lebuh Raya Kota Kemuning-Shah Alam (LKSA), pemaju perumahan menjadi pemegang saham kepada LKSA dengan salah satu lebuh raya menuju ke kawasan perumahannya,” katanya.

Selasa lepas Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor mencadangkan supaya syarikat konsesi memajukan tanah berpotensi di sepanjang lebuh raya untuk tujuan komersil supaya dapat mengurangkan kadar tol di lebuh raya yang bakal dibina pada masa akan datang.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) Sazally Said berkata program Tuisyen Tanggung Jawab Sosial itu memberi peluang kepada penghuni rumah amal itu untuk menguasai subjek Bahasa Inggeris dan Matematik.

– BERNAMA

Dikirim Oleh on Apr 9th, 2010 dan difailkan dibawah Berita Harta, Hartanah Hari ini. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Tinggalkan ulasan anda