Tabung Haji Akan Tambah Pelaburan Hartanah Di Mekah Dan Madinah

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Lembaga Tabung Haji dijangka menambah pelaburan dalam hartanah di Mekah dan Madinah dalam masa satu hingga dua tahun akan datang sebagai usaha memastikan kos menunaikan Haji pada kadar yang mampu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Ismee Ismail berkata kumpulan kini serius meninjau peluang pelaburan di sana sejak 2008.

“Kita sedang giat melihat kepada peluang-peluang pelaburan terutamanya di Mekah. Banyak cadangan telah kita terima tapi kita kena lihat dari segi harga, jarak masjid ke hotel dan keperluan lain,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau ditemui selepas majlis pemeteraian perjanjian antara Tabung Haji dan AmanahRaya Bhd bagi kerjasama pelaburan hartanah.

Ismee berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai sebab kos menunaikan Haji masih meningkat meskipun dengan pelbagai strategi pelaburan oleh Tabung Haji.

Beliau berkata dari segi komponen kos menunaikan Haji, kos yang terbesar sekali melibatkan dua aspek iaitu penerbangan dan perumahan untuk penginapan.

“Kalau kita lihat dari segi perumahan, di Mekah kita lihat banyak bangunan-bangunan yang telah dirobohkan untuk digantikan dengan bangunan baru.

“Jadi, sementara ini, kita berdepan dengan kekurangan perumahan pada musim haji,” kata Ismee.

Selain itu, Lembaga Tabung Haji turut berunding dengan pemilik rumah di sana supaya peningkatan harga tidak begitu ketara, katanya.

Setakat ini, kumpulan itu telah melabur sebanyak lebih RM600 juta untuk dua bangunan di Mekah dan Madinah bagi tujuan tersebut.

“Kita telah pajak satu bangunan iaitu Hajar Tower di Mekah di mana kita pajak sebanyak lima tingkat yang mempunyai 220 bilik yang dijangka siap sama ada bulan depan atau selewat-lewatnya Ramadhan tahun ini,” katanya.

Kos menunaikan haji adalah sebanyak RM9,980 seorang pada 2009 berbanding RM8,973 seorang pada 2008, di mana kos itu tidak meningkat sejak 2002.

Ismee berkata daripada jumlah saiz dana sebanyak RM24 bilion, kumpulan itu memperuntukkan sebanyak 20 peratus untuk pelaburan hartanah, 40 peratus pula kepada ekuiti-ekuiti yang disenaraikan dan selebihnya dalam pendapatan tetap dan sebagainya.

Pelaburan hartanah yang kini menyumbang sebanyak 12 peratus kepada perolehan kumpulan, dijangka meningkat kepada 20 peratus melalui pelaburan-pelaburan hartanah di dalam dan luar negara dalam masa lima tahun akan datang, katanya.

Terdahulu, kerjasama pelaburan yang ditandatangani itu bakal menyaksikan kumpulan dan AmanahRaya melabur sebanyak RM40 juta setiap satu sebagai permulaan di dalam syarikat kerjasamanya, Abraj Sdn Bhd.

Tabung Haji dan AmanahRaya akan sama-sama memegang pegangan ekuiti sebanyak 50 peratus di dalam Abraj.

“Struktur ekuiti ialah 30 peratus ekuiti dan 70 peratus hutang, di mana kami akan meminjam daripada Affin Bank,” kata Ismee.

Ismee berkata pelaburan pertama akan melibatkan pelaburan hartanah di tiga bangunan pejabat bernilai RM270 juta di Cyberjaya dengan keluasan 450,000 kaki persegi.

“Projek pertama Abraj ini berpotensi untuk memberikan pulangan tetap berulang melalui kutipan sewa dari agensi-agensi kerajaan yang sedang menyewa di bangunan tersebut,” kata beliau.

Melalui kerjasama itu, pihaknya menjangka pulangan atas pelaburan sebanyak tujuh hingga 7.5 peratus setahun, katanya.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Mac 30th, 2010 dan difailkan dibawah Berita Harta, Hartanah Hari ini. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda