KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — UEM Land Bhd, anak syarikat pembangunan hartanah Kumpulan UEM sedang berunding dengan dua bank tempatan untuk membiayai projeknya di Nusajaya, Johor, kata Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali hari ini.
Kedua-dua projek itu ialah projek tebingan pantai Puteri Harbour dan kawasan kediaman, East Ledang.
Asalnya, syarikat itu berunding dengan empat bank untuk mendapatkan pinjaman RM850 juta tetapi telah dikurangkan kepada dua bank kerana kebanyakan bank sangat berhati-hati untuk memberi pinjaman kepada sektor hartanah, katanya.
“Nampaknya saiznya mungkin turun kepada pinjaman RM350 juta. Kami berharap untuk memuktamadkan pinjaman bersindiket dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Rabu.
Gearannya kini sangat rendah sebanyak 0.35 kali, kata Ahmad Tajuddin.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan UEM Land Wan Abdullah Wan Ibrahim berkata kerja sebenar di segi perancangan, reka bentuk dan kelulusan projeknya sedang dilakukan, walau pun berhadapan kesukaran di segi sentimen pasaran.
“Kami mahu bersedia apabila pasaran pulih,” katanya.
Keuntungan pracukai UEM turun kepada RM4.583 juta pada suku tahun pertama berkahir 31 Mac, 2009, berbanding dengan RM66.011 juta yang dicatatkan pada tahun lepas manakala perolehan merosot kepada RM56.511 juta berbanding dengan RM191.13 juta.
Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata UEM Land sedang dalam proses menilai projek strategik tertentu di Lembah Klang dan Pulau Pinang pada masa ini.
Katanya syarikat itu akan mengumumkan projek itu apabila ia telah menandatangani perjanjian jualan dan belian.
Mengenai tindakan undang-undang terhadap UEM oleh Qatar berkaitan spesifikasi dalam pembinaan Jalan raya Salwa di Doha, Ahmad Tajuddin berkata: “Kami hanya kontraktornya. Hanya juruperundingnya yang disaman dan kami dinamakan sebagai pihak pembelaan kedua.”
“Kami akan kendalikan kes itu. Kami mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan diri kami,” katanya mengenai cara kes itu bakal memberi kesan terhadap UEM.
– BERNAMA